BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, October 3, 2010

PELBAGAI JENIS BATUAN

Batuan Igneus

Batuan igneus terjadi akibat daripada penyejukan dan pembekuan magma dari dalam kerak bumi. Batu ini biasanya berbentuk hablur, tidak berlapis-lapis dan tidak mengandungi fosil. Batu igneus boleh dikelaskan berdasarkan kandungan bahan-bahan logam di dalamnya. Jikalau batuan ini mengandungi lebih banyak silika maka batu itu digolongkan sebagai batuan asid. Sebagai batuan granit, batuan igneus jenis asid ini tidaklah padat dan lebih muda warnanya daripada batuan bes. Batuan bes pula lebih padat dan lebih hitam warnanya kerana banyak mengandungi oksid bes, seperti besi, aluminium dan magnesium. Dari segi asal kejadiannya, batuan igneus boleh dikelaskan kepada dua jenis iaitu :

l. Batuan Igneus Plutonik atau Rejahan - Batu ini adalah batu igneus yang terjadi di bahagian bawah kerak bumi. Penyejukan dan pembekuan cecair ini berlaku secara perlahan-lahan. Oleh kerana itu terjadilah hablur-hablur kasar yang mudah dikenal. Batu jalar dalam ini, umpamanya granit, diorit dan gabro terdedah di permukaan bumi akibat daripada proses gondolan dan hakisan.

2. Batu Gunung Berapi atau Terobosan - Batu gunung berapi adalah batu cecair yang telah melimpah keluar dari gunung berapi sebagai lava. Lava ini membeku dengan cepat di permukaan bumi dan hablur yang dihasilkannya berbentuk halus.
Batu gunung berapi atau batu jalar luar yang biasa terdapat ialah batu basol. Batu basol ini menghasilkan hanyutan lava, litupan lava dan daratan tinggi lava. Setengah-setengah batu basol membeku dengan cara yang luar biasa dan menghasilkan menara-menara batu. Sebahagian daripada lava cair itu mungkin mengalir keluar melalui rekahan-rekahan. Lava cair itu kemudian membeku dalam bentuk daik yang tegak dan sil yang datar.

Kebanyakan batu igneus keras lagi kukuh. Oleh kerana itulah batu igneus biasanya dipecahkan untuk kegunaan membuat jalan raya, tugu-tugu peringatan dan batu-batu nisan yang berukir.



Batuan Enapan

Batu enapan terjadi daripada enapan yang terkumpul di kawasan perairan. Kejadiannya memakan masa yang panjang. Batuan ini dapat dibezakan daripada batuan jenis lain oleh sifat-sifatnya yang berlapis-lapis. Oleh sebab itu batuan ini disebut batu-batan berlapis. Tebal lapisannya berbeza-beza dari beberapa sentimeter hingga ke beberapa meter. Bentuknya kasar atau berbiji-biji halus, mungkin juga lembut atau keras. Bahan-bahan yang membentuk batuan enapan ini mungkin telah diangkut oleh sungai-sungai, glasier, angin atau binatang-binatang. Batuan enapan tidak berhablur dan seringkali mengandungi fosil-fosil binatang, tumbuh-tumbuhan dan hidup-hidupan halus. Batuan enapan inilah yang paling berbeza sekali cara kejadiannya jika dibandingkan dengan batuan lain, batuan enapan dapat dikelaskan berdasarkan umurnya. Berbagai-bagai jenis batu-batan yang terjadi dalam jangka waktu yang sama telah dijeniskan ke dalam satu golongan. Mengetahui sifat-sifat pelbagai jenis batu-batan itu sangatlah penting. Batuan enapan boleh dikelaskan kepada tiga jenis utama dengan berdasarkan kepada asal kejadiannya dan kandungannya iaitu :

l. Batuan enapan yang terjadi secara mekanik - Batuan jenis ini terjadi daripada pemaduan bahan-bahan yang terkumpul daripada batuan yang lain. Batu pasir merupakan batuan enapan yang paling banyak terdapat. Batuan ini terjadi daripada pasir dan kadang-kadang serpihan batu kuarza. Susunan, kandungan dan warnanya sangatlah berbeza-beza. Batu pasir banyak dipecahkan di kuari-kuari untuk kegunaan membuat rumah atau membuat batu penggiling. Batu pasir yang lebih besar dikenal sebagai grit. Apabila batu-batu kelikir yang lebih besar berpadu dengan kukuhnya sehingga menjadi batu besar, maka batuan itu disebut konglomeret (sekiranya bulat) dan brekia (sekiranya bersegi-segi). Batuan enapan yang lebih halus menjadi tanah liat yang banyak digunakan untuk membuat bata, syil atau batu lodak. Pasir dan batu kelikir mungkin terdapat dalam bentuk yang tidak berpadu.

2. Batuan enapan yang terjadi secara organik - Batu ini terjadi daripada bangkai hidup-hidupan yang halus. Contohnya, organisma seperti karang dan kerang yang telah reput dagingnya akan meninggalkan kulit-kulit yang keras. Kebanyakan batu yang terjadi secara ini terdiri daripada jenis kalkeria antaranya termasuklah batu kapur dan kapur. Batu yang mengandungi karbon juga terjadi secara organik. Batuan ini terjadi daripada pemendapan tumbuh-tumbuhan yang telah reput seperti yang terdapat di kawasan paya dan hutan. Batuan di atas memberikan tekanan kepada tinggalan tumbuh-tumbuhan itu dan memampatkannya menjadi jisim karbon yang padat. Akhirnya tinggalan ini menjadi gambut, lignit atau arang batu. Semua bahan-bahan ini sangat tinggi nilainya dari segi ekonomi.

3. Batuan enapan yang terjadi secara kimia - Batu jenis ini terenap melalui tindakan kimia larutan yang berbagai jenis. Natrium klorid (garam batu) berpunca daripada lapisan yang pada satu masa dahulu berada di dasar laut atau tasik. Gipsum atau kulsium sulfat didapati dari penyejatan yang berlaku di tasik-tasik masin seperti Laut Mati yang sangat masin airnya itu. Kalium karbonat dan nitrat juga terjadi dengan cara yang sama.


Batuan Metamorfosis


Tekanan dan haba yang sangat tinggi akan menyebabkan semua batu-batuan, baik batuan igneus mahupun batuan enapan akan bertukar menjadi batuan metamorfosis. Sifat-sifat asal batuan tersebut mungkin berubah oleh kuasa-kuasa tersebut di atas taditerutamanya apabila pergerakan bumi yang sangat kuat berlaku dan dengan cara ini tanah lempung akan berubah menjadi batu loh, batu kapur menjadi batu marmar, batu pasir menjadi kuarzit, batu granit menjadi gneis, syal menjadi syis, arang batu menjadi grafit dan grafit menjadi berlian. Batuan metamorfosis seperti batu marmar dan syis banyak dijumpai di Malaysia. Batu marmar misalnya boleh didapati di Pulau Langkawi dan syis pula boleh didapati di kawasan pergunungan di Sarawak.

Batuan metamorfosis ialah batuan yang telah mengalami perubahan fizikal dan kimia akibat haba dan tekanan yang sangat tinggi. Perubahan fizikal dan kimia yang dimaksudkan itu ialah perubahan dari segi tekstur, struktur dan komposisi mineral batuan. Batuan metamorfosis mungkin berasal daripada batuan igneus, batuan enapan atau batuan metamorfosis yang lain. Suhu yang diperlukan untuk berlakunya proses metamorfisma ialah antara 100°C hingga 800°C. Pada suhu ini batuan masih lagi berkeadaan lembut. Dalam keadaan yang lembut ini, batuan boleh berubah dari segi susunan mineralnya. Hablur dalam mineral pula boleh berubah dari segi saiz dan bentuknya. Komposisi batuan juga boleh berubah akibat tindak balas kimia. Tekanan yang kuat mungkin menghimpit hablur menjadi rata atau panjang. Apabila magma panas mengalir keluar ke permukaan muka bumi ataupun memasuki celah-celah rekahan, batuan kerak bumi yang disentuhnya berubah menjadi batuan metamorfosis. Proses ini dikenali sebagai metamorfisma terma. Batu marmar dan slat bintik terbentuk secara metamorfisma terma ini. Metamorfisma yang berlaku secara besar-besaran adalah metamorfisma serantau. Di kawasan kerak bumi yang pernah mengalami proses pembentukan gunung terdapat batuan metamorfosis seperti syis dan gneis. Hal ini terjadi apabila batuan yang terdapat jauh di dalam kerak bumi mengalami tekanan yang kuat dan haba yang tinggi. Tekanan dan haba yang tinggi menyebabkan batuan mertgalami proses penghabluran semula.

Batuan metamorfosis mempunyai ciri-ciri yang jelas. Kesemua batuan metamorfosis mempunyai struktur berhablur. Batuan metamorfosis mempunyai mineral yang sama seperti batuan igneus, tetapi sering terdapat juga mineral yang hanya terbentuk pada suhu dan tekanan yang sangat tinggi. Sesetengah batuan metamorfosis mampat dan menjadi lebih padat akibat tekanan yang sangat tinggi yang dialaminya. Pemadatan batuan menyebabkan molekulnya menjadi lebih rapat dan isipadu batuan lebih kecil. Sesetengah batuan metamorfosis yang berjalur mempunyai mineral yang tersusun dalam lapisan-lapisan yang selari. Batuan metamorfosis berjalur ini terjadi apabila mineral dalam batuan itu mengalami penghabluran semula atau terhimpit akibat tekanan. Jaluran juga terjadi apabila mineral yang mempunyai kepadatan berlainan terasing lalu membentuk lapisan-lapisan. Contoh batuan berjalur ialah batu loh dan syis. Batuan ini boleh pecah menjadi lapisan-lapisan yang nipis. Batuan metamorfosis tidak berjalur seperti batu marmar dan kuarzit pula tidak boleh pecah kepada beberapa lapisan.

Jenis-Jenis Batuan


Secara umumnya, terdapat tiga jenis batuan iaitu batuan Igneus, Enapan dan metamorfosis



Batu Igneus




Batuan metamorfosis



Batuan Enapan


Tuesday, May 4, 2010

AKTIVITI MANUSIA DI KAWASAN PINGGIR PANTAI DALIT

1. PERHOTELAN


Pembinaan hotel juga merupakan aktiviti manusia pinggir pantai kesan daripada pembangunan pelancongan di kawasan pinggir Pantai Dalit. Hotel Shangri-La merupakan hotel yang dibina di pinggir Pantai Dalit bagi memenuhi permintaan tempat penginapan para pelancong. Selain hotel, pembangunan lain seperti restoran, padang golf dan sebagainya telah dibina bagi memenuhi keperluan pengunjung atau pelancong di kawasan tersebut. Hal ini demikian disebabkan kawasan Pantai Dalit ini jauh daripada kawasan pekan maka pengusaha telah menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan ini bagi memenuhi kepuasan para pelancong.

2. PELANCONGAN


Keindahan alam semula jadi pinggir pantai serta penyediaan perkhidmatan yang baik membuatkan kawasan Pantai Dalit ini menjadi salah satu kawasan pelancongan yang utama di Negeri Sabah. Tarikan yang ada di Pantai Dalit telah menarik perhatian ramai pelancong tidak kira dari dalam atau luar negara untuk melancong ke kawasan ini. Kebanyakan pelancong daripada negara barat datang ke pinggir Pantai Dalit untuk aktiviti berjemur disebabkan kawasan pinggir Pantai Dalit ini nyaman kerana dikelilingi dengan hutan di pinggir pantai dan terdedah kepada sinaran matahari. Usaha pihak pengurus untuk menyediakan satu kawasan khas untuk pelancong berjemur ternyata tidak sia-sia kerana ini dapat menjamin keselesaan dan suasana yang tenang kepada para pelancong. Selain itu, aktiviti pelayaran kapal layar juga sering dijalankan oleh pelancong kerana faktor angin dan ombak yang kuat ini sesuai untuk aktiviti pelayaran.


3. PEMELIHARAAN KUDA

Pemeliharaan kuda juga merupakan salah satu aktiviti manusia yang ada di kawasan Pantai Dalit Tuaran ini. Kandang- kandang kuda ini dibina di kawasan pinggir pantai dan terdapat beberapa orang pekerja lelaki yang bekerja di sana untuk memastikan kuda-kuda ini terpelihara dan dalam keadaan yang baik. Pemeliharaan kuda- kuda di pinggir Pantai Dalit ini merupakan satu perkhidmatan di mana kuda- kuda tersebut akan disewa kepada sesiapa yang berminat menunggang kuda di pinggir pantai. Namun biasanya hanya para pelancong khususnya pelancong dari luar negara yang ingin menunggang kuda di sekitar kawasan Pantai Dalit.


4. PENGAMBILAN PASIR


Aktiviti pengambilan pasir di kawasan pinggir Pantai Dalit ini dipengaruhi oleh kelebihan bentuk muka bumi pinggir pantai di kawasan pinggir Pantai Dalit itu sendiri. Pembentukan diun atau bukit pasir di pinggir Pantai Dalit adalah akibat tiupan angin di kawasan tersebut yang menyebabkan banyak timbunan pasir yang menjadi sumber pasir di kawasan sekitar tempat tersebut. Pengambilan pasir ini adalah bertujuan untuk dijadikan bahan binaan yang amat diperlukan di kawasan ini.

5. AKTIVITI RIADAH


Aktiviti riadah seperti berkelah, hari keluarga, bersukan dan sebagainya biasa dijalankan di sekitar pinggir Pantai Dalit terutama di kawasan Tanjung Badak iaitu antara tempat yang terkenal sebagai pusat riadah di Tuaran. Tanjung Badak menyediakan perkhidmatan berbayar seperti Banana Boat, Jet Ski, kayak, bot, padang untuk bermain bola tampar, kawasan memancing dan sebagainya yang sangat berbaloi untuk para pengunjung. Terdapat juga pekerja pengawal keselamatan bagi memastikan keselamatan para pengunjung yang datang beriadah ke tempat tersebut.

Kawasan Pinggir Pantai Dalit Tuaran


Pantai Dalit terletak di daerah Tuaran. Pantai Dalit terletak kira-kira 45 Kilometer dari Bandar raya Kota Kinabalu. Kawasan Pantai Dalit ini merupakan pantai yang menjadi tarikan ramai. tempat ini juga memiliki beberapa ciri-ciri bentuk muka bumi pinggir pantai yang jelas hasil dari proses-proses hakisan dan mendapan.

Ciri-ciri Bentuk Muka Bumi Pinggir Pantai

a) PantBerpasirai Bahan- bahan yang membentuk pantai berpasir adalah terdiri daripada pasir halus, sederhana dan kasar yang bersaiz antara 0.002 - 2mm. Bahan- bahan yang membentuk pantai berpasir di bawa oleh kawasan daratan oleh angin seperti debu dan pasir yang dimendapkan di pantai. selain itu, ia juga berasal dari laut seperti pasir, batu lada dan kulit- kulit yang diangkut dan dimendap oleh ombak.

b) Profil Pantai Lurus dan Luas



Pembentukan profil pantai yang lurus dan luas melibatkan tindakan pengimbangan di antara hakisan dengan mendapan yang terdapat di kawasan tersebut. Hakisan yang terjadi telah diimbangi oleh mendapan ombak dan mendapan oleh angin sehingga menghasilkan pinggir pantai yang seimbang yang bersifat lurus, lebar dan luas. faktor utama yang menentukan ciri- ciri profil pantai ialah kekuatan ombak dan angin serta jumlah bahan mendapan yang terdapat di kawasan tersebut.

c) Pantai Bercerun Landai


Faktor yang menyebabkan kecerunan pantai yang landai ialah faktor arus pasang surut yang bergerak selari dengan garis pantai. ia memudahkan pemendapan bahan- bahan enapan dari laut oleh ombak dan dimendapkan di pesisir pantai. faktor kawasan cetek juga mempengaruhi kelandaian pantai di mana daktor ini akan menyebabkan ombak kehilangan tenaga kinetik akibat geseran dengan dasar pantai lalu membentuk ombak pembina. Damparan ombak rendah dengan tenaga kinetik lemah akan tersebar meluas ke pantai, manakala unduran ombak ke laut juga rendah menyebabkan kadar pemendapan semakin tinggi. Faktor jenis dan saiz bahan mendak yang dibawa oleh ombak seperti bijian pasir yang halus juga mempengaruhi pembentukan pantai landai akibat pemendapan ombak. kesan aktiviti manusia seperti penanaman pokok rhu menambahkan pasir- pasir di tepi pantai mendorong pembentukan pantai landai ini.

d) Pantai Bercerun Curam


Faktor kedalaman air di kawasan teluk menyebabkan pantai curam terbentuk. Pinggir pantai dalam memudahkan proses hakisan yang menggalakkan ombak laut kuat mara hingga ke pinggir pantai. Ombak akan pecah dengan kuasa yang kuat lalu mendampar ke pinggir pantai dengan tenaga kinetik yang kuat sehingga terbentuknya pantai cerun curam dan profil pantai yang pendek. Faktor kedalaman air juga menjadi salah satu punca pembentukan pantai curam akibat tindakan manusia yang memperdalamkan air bagi tujuan pembinaan jeti dan bot- bot berlabuh di pinggir pantai.

e) Bukit Pasir/ Diun



Angin merupakan agen geomorfologi yang paling utama dalam pembentukan diun. Pemendapan di tepi pantai menjadikan saiz pantai semakin lebar. kedudukan pantai yang menghadap perairan bergelombang dan angin kuat turut mempengaruhi pembentukan diun ini yang mana ia mengangkut debu dan pasir yang ada dan memendapkannya menjadi bukit pasir di pinggir pantai.

f) Beting Pasir


Beting pasir merupakan timbunan pasir dan batu kelikir yang kelihatan ketika air surut. Pembentukannya bergantung pada jenis dan jumpa bahan pantai yang dimendapkan serta profil pantai. Ombak yang mara ke pinggir pantai membawa bersama bahan dari dasar laut lalu dimendapkan di garisan yang berlakunya pemecahan ombak. unduran ombak menghakis permukaan pantai dan membawa bahan- bahan dari pantai lalu melonggokkan dan memendapkan bahan- bahan tersebut juga di garisan pemecahan ombak lalu membentuk beting pasir.

g) Teluk dan Tanjung


Pembentukan kedua- dua bentuk muka bumi ini wujud secara serentak di kawasan pinggir pantai yang mempunyai struktur batuan keras dan lembut yang berkedudukan selang- seli antara satu sama lain. kadar hakisan yang tinggi terhadap jaluran batuan yang lembut akan menghasilkan lekukan yang menghala ke pedalaman daratan lalu membentuk teluk. Batuan keras yang tahan hakisan ombak pula kurang terhakis lalu membentuk tanjung yang menganjur ke arah laut.

h) Tunggul Sisa


Pembentukan tunggul sisa adalah bermula hasil tindakan ombak terhadap gerbang laut. Tindakan hakisan ombak secara berterusan terhadap bumbung gerbang laut menyebabkan runtuhnya meninggalkan bahagian dinding dan membentuk batu tunggul. Batu tunggul ini pula mengalami tindakan berterusan sehingga membentuk tunggul sisa yang biasanya hanya akan dilihat pada laut surut.

i) Tebing Tinggi/ Curam

Tebing tinggi terbentuk akibat batuan pejal di pinggir pantai akibat tindakan hidraul yang bertindak membesarkan lekukan atau rekahan yang terdapat di lereng cerun batuan yang menganjur ke laut. lekukan semakin besar dan bahagian atas lubang runtuh membentuk tebing tinggi yang curam. kadar pengundurannya bergantung kepada struktur geologi iaitu perlapisan, rekahan serta daya tahannya menerima pukulan ombak. jika lapisan- lapisan condong curam ke arah laut, tebing tinggi akan terbina yang dikenali sebagai teres pesisir dan jika lapisan condong hala ke daratan, cenuram akan lebih tahan daripada dihakis oleh ombak.