BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, May 4, 2010

AKTIVITI MANUSIA DI KAWASAN PINGGIR PANTAI DALIT

1. PERHOTELAN


Pembinaan hotel juga merupakan aktiviti manusia pinggir pantai kesan daripada pembangunan pelancongan di kawasan pinggir Pantai Dalit. Hotel Shangri-La merupakan hotel yang dibina di pinggir Pantai Dalit bagi memenuhi permintaan tempat penginapan para pelancong. Selain hotel, pembangunan lain seperti restoran, padang golf dan sebagainya telah dibina bagi memenuhi keperluan pengunjung atau pelancong di kawasan tersebut. Hal ini demikian disebabkan kawasan Pantai Dalit ini jauh daripada kawasan pekan maka pengusaha telah menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan ini bagi memenuhi kepuasan para pelancong.

2. PELANCONGAN


Keindahan alam semula jadi pinggir pantai serta penyediaan perkhidmatan yang baik membuatkan kawasan Pantai Dalit ini menjadi salah satu kawasan pelancongan yang utama di Negeri Sabah. Tarikan yang ada di Pantai Dalit telah menarik perhatian ramai pelancong tidak kira dari dalam atau luar negara untuk melancong ke kawasan ini. Kebanyakan pelancong daripada negara barat datang ke pinggir Pantai Dalit untuk aktiviti berjemur disebabkan kawasan pinggir Pantai Dalit ini nyaman kerana dikelilingi dengan hutan di pinggir pantai dan terdedah kepada sinaran matahari. Usaha pihak pengurus untuk menyediakan satu kawasan khas untuk pelancong berjemur ternyata tidak sia-sia kerana ini dapat menjamin keselesaan dan suasana yang tenang kepada para pelancong. Selain itu, aktiviti pelayaran kapal layar juga sering dijalankan oleh pelancong kerana faktor angin dan ombak yang kuat ini sesuai untuk aktiviti pelayaran.


3. PEMELIHARAAN KUDA

Pemeliharaan kuda juga merupakan salah satu aktiviti manusia yang ada di kawasan Pantai Dalit Tuaran ini. Kandang- kandang kuda ini dibina di kawasan pinggir pantai dan terdapat beberapa orang pekerja lelaki yang bekerja di sana untuk memastikan kuda-kuda ini terpelihara dan dalam keadaan yang baik. Pemeliharaan kuda- kuda di pinggir Pantai Dalit ini merupakan satu perkhidmatan di mana kuda- kuda tersebut akan disewa kepada sesiapa yang berminat menunggang kuda di pinggir pantai. Namun biasanya hanya para pelancong khususnya pelancong dari luar negara yang ingin menunggang kuda di sekitar kawasan Pantai Dalit.


4. PENGAMBILAN PASIR


Aktiviti pengambilan pasir di kawasan pinggir Pantai Dalit ini dipengaruhi oleh kelebihan bentuk muka bumi pinggir pantai di kawasan pinggir Pantai Dalit itu sendiri. Pembentukan diun atau bukit pasir di pinggir Pantai Dalit adalah akibat tiupan angin di kawasan tersebut yang menyebabkan banyak timbunan pasir yang menjadi sumber pasir di kawasan sekitar tempat tersebut. Pengambilan pasir ini adalah bertujuan untuk dijadikan bahan binaan yang amat diperlukan di kawasan ini.

5. AKTIVITI RIADAH


Aktiviti riadah seperti berkelah, hari keluarga, bersukan dan sebagainya biasa dijalankan di sekitar pinggir Pantai Dalit terutama di kawasan Tanjung Badak iaitu antara tempat yang terkenal sebagai pusat riadah di Tuaran. Tanjung Badak menyediakan perkhidmatan berbayar seperti Banana Boat, Jet Ski, kayak, bot, padang untuk bermain bola tampar, kawasan memancing dan sebagainya yang sangat berbaloi untuk para pengunjung. Terdapat juga pekerja pengawal keselamatan bagi memastikan keselamatan para pengunjung yang datang beriadah ke tempat tersebut.

0 comments: